1. Pekerjaan ini tidaklah semudah yang disangkakan!
Memang saya sudah tahu kerja sales ni bukannya mudah. Tapi saya tak pula menjangkakan bahawa bukan saja kerja ini susah tetapi ia juga tidak ada benda yang nyata yang boleh dijual!
Biasanya apabila kita membeli sesuatu, kita akan pulang dengan hati gembira bersama barang yang telah dibeli. Mungkin sesuatu yang mahal seperti sebuah kereta, ataupun sesuatu yang kecil seperti sebungkus roti. Tapi menjual pelan Takaful seolah menjual satu perjanjian bahawa kami akan bayar pelanggan jika berlakunya musibah terhadap mereka, sama ada kemalangan, kecederaan atau kematian – perkara-perkara yang sememang tidak digemari orang ramai.
Setelah saya sedar akan pelajaran ini, saya tidaklah lagi cuba menjual ‘produk’ saya yang malimunan itu. Sebaliknya saya mengingati prospek tentang mengapa mereka sebenarnya memerlukan ‘janji’ kami ini. Sama ada kedua ibu-bapa mereka yang semakin tua, atau anak-isteri mereka yang bergantung pada mereka. Ianya memerlukan suatu perubahan minda bagi pihak saya, tetapi hasilnya ketara!

Tiada produk yang nyata. Cuma perjanjian pampasan kami berikan.
2. Prospek menghargai diri saya yang sebenarnya
Sebagai ejen Takaful, kami semua dilatih rapi, dari sudut mengetahuan produk hinggalah cara keterampilan diri dan perwatakan semasa berjumpa prospek. Dalam usaha saya ingin berjaya, saya juga meniru cara mereka yang telah berjaya di bidang ini.
Tapi tak pula menjadi. Sebab bukan saja saya merasakan seolah saya hanya melakonkan watak dan tidak jujur dengan diri sendiri; tapi saya juga sedar bahawa orang di sekeliling saya kurang selesa dengan perwatakan ‘palsu’ saya. Kepalsuan boleh dihidu prospek dan serta merta ia menimbulkan sangsi.
Jadi saya tidak lagi meniru cara orang lain. Sebaliknya saya ambil inisiatif mengenal pasti kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Perbaiki diri dan menjadi insan yang lebih cemerlang (dan rendah diri).
3. Perlunya kegigihan dan usaha yang tidak putus-putus
Orang kata kerja sebagai ejen ni fleksibel waktu kerjanya. Walaupun tidak salah pernyataan tu, tapi tak juga 100% tepat.
Waktu pekerjaan ejen Takaful ni walapun fleksibel, tetapi ada kalanya panjang dan sukar. Banyak yang perlu dilakukan. Daripada membuat pangilan kepada prospek, melayani panggilan dan menjawab pertanyaan pelanggan, hinggalah memandu sekeliling bandar untuk menghadir appointment bersama prospek. Dan ini pula contoh hari yang baik. Pada hari yang kurang baik pula, kami mungkin mendapat panggilan dari saudara-mara pelanggan untuk memaklumkan berita malang tentang pelanggan kami.
Tekanan fisikal boleh atasi. Tetapi tekanan emosi dan mental yang kami terima daripada melihat pelanggan melalui kesakitan dan kesusahan agak berat bagi kami. Jadi di waktu-waktu sebegini, saya hanya dapat bersyukur kerana diberi peluang membantu apa yang mampu bagi meringankan beban mereka.

Tidak mudah bagi kami melihat pelanggan yang kami hormati melalui waktu-waktu kesusahan.
4. Tiada kejayaan tanpa keinginan untuk membantu dengan ikhlas
Melalui pengalaman saya, saya menyedari bahawa ini adalah bisnes tentang kebajikan orang lain. Ia bukan tentang saya ataupun sasaran sales mahupun komisyen saya. Bukan juga tentang keterampilan saya yang hebat, atau keyakinan saya yang tinggi. Ianya bukan tentang kecanggihan brosure produk saya mahupun betapa mahalnya sepatu saya.
Saya menyedari bahawa faktor yang membuatkan seseorang ejen itu berjaya adalah sifat keikhlasannya dalam membantu orang lain. Dan keinginannya untuk berbakti untuk kebaikan orang yang beliau kenali. Prospek dapat mengesan keikhlasan ini, seperti mana pesakit dapat mengenalpasti doktor yang betul-betul mengasihi pesakitnya dari doktor yang sekadar menjalankan tugas.
Sekali lagi perubahan mindset diperlukan, tetapi ianya tidak sukar bagi saya lakukan. Saya mungkin tidak dapat menjadi seorang doktor yang menentukan nasib seseorang. Akan tetapi saya boleh menjadi seorang ejen yang ikhlas mengubah nasib seseorang.
5. Kepuasan yang dirasai bukan dari wang ringgit
Ramai ejen yang menceburi bidang ini dengan harapan dapat membina sebuah kehidupan yang selesa, aturan waktu pekerjaan yang fleksibel serta peluang untuk melancong serata dunia.
Tapi akhirnya, saya menyedari bahawa ganjaran terbesar yang diperoleh dari kerjaya ini bukannya datang dari wang ringgit. Sebaliknya ganjaran itu datang dari kesedaran bahawa usaha kami dapat memberi sesuatu impak positif di dalam kehidupan orang lain. Ia datang dari kesedaran bahawa tugas kami sebenarnya ialah untuk mengembalikan kuasa kepada mereka dalam mengendalikan masa hadapan mereka dengan lebih sempurna. Ganjaran yang terbesar datang dalam bentuk penghargaan yang diberi pelangan yang dahulunya orang asing tetapi kini menjadi rakan yang dikasihi.
Anda ingin berkongsikan kisah dan perjalanan anda sebagai ejen Takaful? Emelkan kepada kami kisah dan pengalaman anda ke PR@ibanding.com.
Jangan lupa sharekan artikel ini bersama rakan ejen anda dan Like kami di Facebook kami supaya anda tidak ketinggalan artikel-artikel baru!
Nak baca artikel lagi. Kami syorkan yang ini pula!
7 Perkara Setiap Ejen Insurans Ingin Rakyat Malaysia Ketahui
Leave a Comment