Setelah beberapa bulan atau mungkin juga tahun anda menyaksikan kejayaan rakan-rakan anda yang menceburi dalam bidang insurans dan takaful, laman Facebook mereka dipenuhi dengan gambar mereka menghadiri upacara-yang glamer. Ggambar mereka berjabat tangan dengan pelanggan baru setelah berjaya membuat sale, dan gambar-gambar mereka ber-posing di tempat menarik seperti Big Ben di London, Eiffel Tower di Paris dan Burj Khalifa di Dubai.

Maka anda pun berfikir, “saya pun boleh buat ni, tak sesusah mana pun“. Jadi anda pun sertai bidang ini, anda dapatkan lesen anda, segala training yang diperlukan, dan memasuki ejensi yang anda rasa paling sesuai. Dengan semangat yang membara, tiada apa yang boleh menghalang impian anda. “New York, aku akan tiba tidak lama lagi!

12 bulan kemudian, semasa melayari Facebook sendiri, anda cuma lihat 4 gambar anda berjabat tangan dengan pelanggan baru. Bukan saja anda belum lagi menjejak kaki di New York (atau di mana saja tempat terkemuka), malah sekarang anda mempunyai masalah kewangan. Duit sewa pun belum dibayar. Mulalah anda bertanya kalau kerjaya ini sesuai bagi anda.

Ramai sebenarnya yang pernah melalui situasi yang sama, bukan saja ejen dan wakil insurans dan takaful. Ejen hartanah, jurujual, peserta MLM, dan juga freelancers, ramai yang tinggalkan cita-cita meroleh kejayaan dan mengecapi financial freedom.

 

Mengapa ramai, terutamanya ejen yang baru gagal? Mari kita lihat beberapa faktor lazim.

1. Pemikiran (Mindset)

Ini adalah faktor utama! Tidak kiralah berapa banyak latihan yang anda lalui, tidak kira berapa tinggi kemahiran anda, dan tidak kiralah berapa ramai prospek baru yang menunggu untuk bertemu anda. Jika anda tidak mempunyai mindset untuk mencapai kejayaan, segala bakat, segala training dan segala peluang semuanya adalah sia-sia belaka.

Kekuatan minda adalah penting untuk berjaya dalam bidang apa sekali pun. Kita boleh kecapi apa jua yang kita impikan dengan memiliki mindset yang betul iaitu yang seiring dengan impian dan hajat kita. Jika anda tidak yakin dengan keupayaan sendiri, atau ragu dengan kebolehan anda, maka pemikiran ini akan menghalang kejayaan anda. Keyakinan diri adalah kunci kejayaan, jadi jangan biarkan pemikiran negatif, ragu-ragu dan was-was mengacau keyakinan itu.

2. Focus yang kurang tepat

Ramai yang memasuki industri ini dengan focus dan niat untuk menjadi kaya. Ramai pun yang telah berjaya dengan cara ini. Tetapi nasihat kami adalah niat anda tidak semestinya untuk menjadi kaya semata-mata. Industri ini ialah satu “people business”, di mana, anda perlu berurusan dengan ramai orang. Focus anda sepatutnya adalah untuk memberi manfaat atau value kepada setiap orang yang memerlukannya. Jika anda jadikan ini focus utama anda dan menanamkan niat ini kukuh dalam diri anda, perspektif anda dengan sendirinya akan berubah, dan keikhlasan anda untuk membantu dengan sendirinya akan terserlah. Prospek dan pelanggan anda juga akan dapat merasai keikhlasan anda.

3. Tidak memahami pelanggan

Ini berpunca daripada niat yang salah. Jika focus dan niat anda adalah semata-mata kerana wang ringgit, anda akan mula memandang setiap prospek dan pelanggan anda sebagai tanda wang, atau sumber kekayaan dan kesenangan anda. Pandangan itu tidak benar. Bukan tugas mereka untuk menyenangkan anda, sebaliknya ia adalah tugas anda untuk memberi value dan perkhidmatan kepada mereka. Jangan tergesa-gesa untuk close sale, tetapi luangkan masa untuk mengenali mereka. Tumpukan perhatian kepada mereka, fahami apa sebenarnya yang mereka khuatiri dan apakah masalah mereka yang tersurat mahupun yang tersirat. Bantu mereka dengan hati yang ikhlas.

4. Tidak mahu bekerja keras

Tidak kiralah sektor dan bidang apa sekali pun, kejayaan tidak dapat dikecapi tanpa usaha yang gigih. Masalahnya dengan kerjaya sebegini ialah anda perlu sentiasa memotivasi diri sendiri untuk berusaha. Tidak seperti kerja pejabat di mana anda sudah tahu anda perlu berada di ofis pada jam 8 pagi, 5 hari seminggu. Anda sudah tahu bahawa anda perlu menghantar report setiap Isnin dan anda sudah tahu sales target anda yang perlu anda penuhi setiap bulan. Dalam industri ini, tiada bos yang sentiasa perhatikan gerak-geri anda dan tiada pula penilaian tahunan di hujung tahun nanti.

Semuanya terpulang kepada keazaman dan kegigihan diri sendiri. Kejayaan rakan anda yang anda saksikan, anda cuma dapat lihat gambar-gambar glamer mereka. Apa yang tidak kelihatan adalah keringat peluh mereka. Kebanyakan mereka juga pernah merasai rejection atau kegagalan, mereka mungkin juga pernah merasai ragu-ragu. Tetapi bezanya mereka bangkit setiap kali mereka terjatuh. Kuncinya ketabahan dan tidak berputus-asa.

5. Berpendapat bahawa ini adalah satu pekerjaan, bukan satu bisnes

Ini adalah satu bisnes! Ini bukanlah satu pekerjaan di mana anda muncul di pejabat setiap hari dan pulang dengan gaji atau pendapatan pada hujung bulan. Setiap bisnes memerlukan perancangan bijak dan kukuh, pelaburan kapital iaitu dari segi keperluan latihan dan kemahiran. Kos minyak dan bil telefon perlu dilihat sebagai pelaburan bagi bisnes anda. Apabila anda mengambil kerjaya ini sebagai bisnes anda, anda akan mula mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan perkembangan bisnes ini.

 

Banyak lagi sebab-sebab lazim mengapa ramai yang gagal dalam industri ini. Kita akan bersambung lagi pada bahagian seterusnya.

Jika anda ingin berkongsi dengan kami dan pembaca lain tentang kisah dan pengalaman anda sebagai wakil insurans dan takaful, kami sangat mengalu-alukannya. Sila sharekan kisah anda dalam ruang komen, atau message saja kami di lama Facebook kami. Mudah-mudahan pembaca lain dapat manfaat dari pengalaman anda.

Spread the love